Zuhrah

Zuhrah

Seterusnya dalam arah keluar Sistem Suria terdapat pula planet Zuhrah. Ia terletak 0.72 AU jauhnya dari Matahari. Dari Bumi planet ini kelihatan bergerak jauh sedikit dari Matahari berbanding dengan Utarid. Perpisahan ketara maksima planet Zuhrah boleh mencapai 45 darjat dari Matahari. Zuhrah adalah salah satu objek yang paling menarik untuk dicerap. Disebabkan oleh putarannya mengelilingi Matahari ia kelihatan mengalami fasa-fasa yang serupa dengan Bulan. Ia juga boleh dicerap dengan teropong tangan. Dalam putarannya mengelilingi Matahari, pada kedudukan yang terdekat dengan Bumi, planet Zuhrah dengan senangnya boleh menjadi objek yang tercerah di langit selepas Matahari dan Bulan.
Zuhrah
Gambar Zuhrah yang diambil dalam tahun 1990 oleh kapal angkasa Galileo. Imej ini telah diwarnakan untuk memudahkan cerapan dengan lebih terperinci dan untuk menunjukkan warna penuras ungu yang digunakan. Juga kelihatan dengan terperinci awan berasid sulfurik yang meliputi planet tersebut. Kredit : NASA
Dari segi saiz, jisim dan campuran kimia, Zuhrah, yang bergaris-pusat 12 100 kilometer, amat serupa dengan Bumi. Perbezaan yang ternyata cuma dari segi rupanya sahaja. Tidak seperti Bumi, udara di permukaan Zuhrah amat tebal sehingga melindungi permukaannya. Ini membentuk satu halangan yang besar dalam penyelidikan keatas planet Zuhrah. Oleh yang demikian, putaran atas paksinya tidak dapat diukur sehingga awal tahun 1960'an bila pakar-pakar astronomi dapat menggunakan radar untuk tujuan ini. Dengan bantuan radar, pakar-pakar astronomi mendapati bahawa Zuhrah berputar mengikut arah bertentangan dengan arah biasa. Juga didapati bahawa satu putaran tersebut mengambil masa 243 hari di Bumi.
Penyelidikan keatas Zuhrah cuma bermula dengan sempurnanya dipermulaan era angkasa lepas. Ia merupakan planet yang pertama di dalam Sistem Suria yang dilintasi kapal angkasa, seperti Mariner 2 dalam tahun 1962. Ini diikuti pula oleh beberapa kapal-kapal angkasa yang lain seperti kapal angkasa Amerika Mariner, kapal angkasa Soviet Venera dan kapal angkasa America Pioneer Venus Multiprobe. Pioneer Venus Multiprobe turun memasuki ruang udara dan mendarat di permukaannya. Akhirnya, sampai pula Pioneer Venus Orbiter, Venera yang lain dan juga kapal angkasa Magellan yang mengelilingi Zuhrah untuk memetakan permukaannya mengunakan radar.
Atmosfera
Ciri-ciri Zuhrah yang paling menakjubkan ialah udaranya. Campuran udaranya amat berbeza dari udara di Bumi dimana 95 peratus daripadanya terdiri daripada karbon-dioksida, sedikit kesan nitrogen dan gas yang lain. Udara tersebut juga didapati secara keseluruhannya tidak begitu tebal. Sebenarnya, awan yang tertebal sekali terdapat pada tahap ketinggian altitud 45 hingga ke 65 kilometer yang melindungi permukaan dari pandangan luar. Awan ini didapati mengandungi bintik bintik asid sulfurik, sedikit air dan jerebu. Awan tersebut bergerak dengan kelajuan 350 kilometer se jam. Dalam masa 4 hari awan tersebut boleh membuat satu putaran penuh mengelilingi Zuhrah. Kelajuan ini merupakan 60 kali ganda kelajuan putaran Zuhrah diatas paksinya.
Keadaan udara di permukaan Zuhrah boleh dikatakan amat tidak menyenangkan. Tekanan udaranya adalah 90 kali ganda lebih kuat dari takanan di Bumi. Suhunya boleh mencapai ketahap 480 darjat Celcius. Suhu inilah yang menjelaskan perbezaan besar diantara Zuhrah dan Bumi. Sejak terbentuk, kedua-dua Zuhrah dan Bumi diliputi udara karbon-dioksida dan air. Di Bumi, air jatuh membentuk laut dan karbon-dioksida pula diserapi oleh batu-batu. Di permukaan Zuhrah pula, kedudukannya yang lebih dekat dengan Matahari menyebabkan suhu terlalu tinggi sehingga dua proses tersebut tidak dapat berlaku. Keadaan ini meninggalkan udara asal Zuhrah lebih-kurang tidak bertukar.
Kedudukan planet Zuhrah yang dekat dengan Matahari secara tersendirinya tidak dapat menjelaskan ketinggian suhu permukaan yang mencapai ketahap 480 darjat Celcius. Suhu tinggi tersebut juga disebabkan oleh fenomena yang dikenali sebagai Greenhouse Effect. Fenomena ini berlaku bila radiasi Matahari memasuki ruang udara pada puncak intensitinya. Bahan-bahan udara menyerap radiasi ini dan mengeluarkannya pula pada intensiti yang rendah yang tidak dapat terlepas ke ruang angkasa. Ini mengakibatkan radiasi tersebut terperangkap dan bertukar menjadi suhu tinggi.
Dalam hal Zuhrah, partikel karbon-dioksida lah yang memerangkap radiasi tersebut. Mekanisma inilah yang menyebabkan suhu Zuhrah meninggi sikit demi sikit sampai mencapai suhu sekarang ini. Kesan ini juga terjadi di Bumi tetapi kurang ketara sebab jumlah karbon-dioksida di Bumi tidak begitu sedemikian tinggi.
Permukaan
Permukaan Zuhrah terdedah kepada kita terutamanya melalui alat penduga yang diletakkan di orbit mengelilinginya. Topografi permukaan Zuhrah telah dicerapkan menggunakan radar. Pioneer Venus Orbiter ialah kapal-angkasa yang pertama sekali mengelilingi Zuhrah, ia diikuti pula oleh beberapa kapal angkasa Venera. Akhir sekali, Magellan telah berjaya memetakan 98 peratus dari permukaan Zuhrah. Peta ini adalah hasil cerapan dalam masa beberapa tahun dengan resolusi lebih-kurang 100 meter. Cerapan tersebut menunjukkan bahawa permukaan Zuhrah, secara umumnya, adalah terdiri daripada dataran-dataran besar. Dataran ini dibahagi oleh 2 dataran tinggi sebesar plet benua. Dataran tinggi ini dipanggil Aphrodite Terra dan Ishtar Terra.
Zuhrah
Gambar permukaan Zuhrah yang diambil oleh kapal angkasa Soviet Venera 13 dalam tahun 1982. Kredit : NASA/GSFC
Di atas dataran permukaan Zuhrah terdapat penuh dengan bentukan gunung berapi. Sebahagian daripadanya dapat dipetakan dengan nyata. Satu daripadanya, Mount Maxwell mencapai tahap ketinggian 11 km. Juga terdapat di permukaan Zuhrah kubah yang yang janggal bentuknya. Disamping bentukan tersebut yang mungkin terjadi akibat lava yang cair juga terdapat bentuk hasilan lava yang tua. Bentuk permukaan in mencadangkan bahawa aktiviti letupan gunung berapi tersebut telah berlaku tidak berapa lama dulu, mungkin kurang dari 10 juta tahun yang lepas. Walau bagaimana pun, aktiviti tersebut tidak berlaku lagi sekarang ini, keujudan plet tektonik seperti Bumi tidak dapat dikesani.
Selain daripada bentukan gunung berapi, juga terdapat di permukaan Zuhrah beberapa kawah-kawah, semuanya bergaris-pusat melebihi beberapa km. Ini dijangka disebabkan oleh atmosferanya yang padat yang menyebabkan meteor yang kecil hancur dan tidak dapat meninggalkan kesan yang sedemikian besar. Akhirnya, permukaan Zuhrah telah didedahkan oleh alat penduga Venera yang diturunkan dengan hati-hati ke permukaan Zuhrah. Dari sini, telah didapati bahawa permukaan Zuhrah adalah menyerupai padang pasir yang tandus dan berbatu-batu dan kelihatan berwarna jingga.

0 comments: